KUANTAN, 23 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan nasihat agar setiap pembayaran Zakat Fitrah dilakukan melalui amil bertauliah oleh pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sahaja.
Orang ramai boleh membayar zakat melalui saluran rasmi yang disediakan oleh Pusat Kutipan Zakat (PKZ) Pahang selaku agensi yang menguruskan kutipan zakat di seluruh negeri ini.
“Saya ingin menasihatkan agar pembayaran Zakat Fitrah hanya dilaksanakan melalui amil yang telah ditauliahkan dan dilantik oleh pihak majlis bagi memastikan urusan kutipan berjalan dengan teratur, sah serta menepati ketetapan syarak.
“Justeru, janganlah menunaikan zakat fitrah kepada mana-mana individu yang tidak mempunyai tauliah rasmi daripada majlis (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang,” titah Paduka Baginda.
Sementara itu seiring dengan kemajuan teknologi digital, Paduka Baginda turut menzahirkan sokongan penuh terhadap inisiatif majlis menyediakan tiga kaedah pembayaran Zakat Fitrah iaitu melalui amil bertauliah, pembayaran secara dalam talian menerusi laman sesawang rasmi majlis dan kemudahan kiosk layan diri yang disediakan di pejabat-pejabat cawangan daerah.
Pada masa sama juga, Paduka Baginda dengan sukacitanya berkenan melancarkan aplikasi bayaran Zakat Fitrah tahun 2026 melalui aplikasi EZ Amil, laman sesawang rasmi majlis serta kiosk layan diri di pejabat-pejabat cawangan daerah bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan tersebut.
“Saya menyeru seluruh umat Islam di negeri Pahang supaya menunaikan kewajipan Zakat Fitrah dengan penuh tanggungjawab dan keinsafan bersempena bulan Ramadan tahun ini.
“Zakat Fitrah merupakan antara tuntutan agama yang penting dalam menyempurnakan ibadah Ramadan dan perlu dilaksanakan mengikut ketetapan yang telah digariskan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG







