KUANTAN, 11 Julai 2025 – Seluruh warga Majlis Kesultanan Pahang (MKP) menyampaikan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di atas kejayaan cemerlang memperoleh Ijazah Sarjana Muda (Kepujian Kelas Pertama) dalam bidang Tekstil dari University for the Creative Arts (UCA), United Kingdom, semalam.

Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan, bukan sahaja kepada keluarga diraja Pahang tetapi juga kepada rakyat negeri Pahang.
Kejayaan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja menamatkan pengajian dengan keputusan yang cemerlang dalam bidang kreatif dan teknikal seperti tekstil mencerminkan keazaman, kesungguhan serta dedikasi yang tinggi sepanjang tempoh pengajian.
Bidang tekstil yang melibatkan elemen seni, reka bentuk, warisan dan inovasi merupakan cabang ilmu yang semakin penting dalam memperkaya budaya serta memartabatkan identiti bangsa. Pencapaian ini juga membuktikan bahawa golongan muda, khususnya wanita, mampu menyerlah dalam bidang yang mencabar serta berpotensi besar untuk diterokai di peringkat global.
Seluruh warga MKP amat berbangga dengan kejayaan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja yang boleh dijadikan sumber inspirasi dan aspirasi kepada generasi muda, terutamanya dalam membina masa depan yang gemilang berasaskan ilmu, kreativiti dan nilai budaya.
Didoakan semoga Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja terus melakar lebih banyak kejayaan dalam apa jua bidang yang diceburi selepas ini serta berupaya menyumbang ke arah pemerkasaan industri kreatif tanah air, khususnya dalam memperkasa warisan tekstil tempatan di persada antarabangsa.
Semoga Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja sentiasa berada dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah SWT serta dikurniakan kesihatan, kebijaksanaan dan keberkatan dalam setiap langkah kehidupan yang mendatang. -KESULTANAN PAHANG