BENTONG 8 Mac 2026 – Yang Amat Mulia Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hadir ke Program Memasak Bubur Lambuk Untuk Penghuni Penjara Bentong di sini hari ini.
Kehadiran YAM Tengku Panglima Perang sebagai wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang merupakan pelopor program tersebut di penjara sejak empat tahun lalu.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku yang menyediakan bahan-bahan memasak tersebut tidak berangkat hari ini kerana gering dan memerlukan rehat yang secukupnya.
Pada program hari ini sebanyak 3,500 pek bubur lambuk berjaya dihasilkan dan YAM Tengku Panglima Perang sendiri menyerahkan bubur lambuk kepada semua penghuni penjara.
YAM Tengku Panglima Perang turut melawat prospek-prospek di Bengkel Tenun dan Bengkel Pastri di samping menyantuni mereka. – KESULTANAN PAHANG







