PULAU TIOMAN, 18 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menegaskan bahawa agenda kebersihan mesti dihayati oleh setiap penduduk kerana Pulau Tioman merupakan permata bagi negeri Pahang.
Sehubungan itu, Paduka Baginda berharap setiap program pembersihan, pemulihan dan pembaikan kawasan kampung hendaklah melibatkan penduduk setempat sendiri, khususnya golongan muda agar amalan tersebut dapat diteruskan secara berterusan.
“Ini perlu diterapkan, dididik dan diamalkan oleh setiap penduduk di sini, khususnya anak-anak muda,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengingatkan agar sikap dan pemikiran masyarakat perlu berubah dengan tidak bergantung kepada arahan semata-mata.
“Mindset itu kena tukar sekarang. Jangan tunggu saya. Jangan tunggu titah saya. Jangan tunggu arahan saya, mesti buat sendiri (usaha menjaga) kebersihan,” tegas Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan meninjau dan menyertai Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Tekek, Pulau Tioman, hari ini.
Sementara itu, Paduka Baginda turut disembah maklum bahawa program kebersihan telah dilaksanakan sebanyak lapan kali dalam tempoh lapan bulan.
“Saya berharap usaha ini diteruskan secara konsisten dengan penglibatan menyeluruh penduduk kampung, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda juga menekankan keperluan membaik pulih atau merobohkan rumah-rumah lama yang telah usang dan daif bagi memastikan imej Pulau Tioman sentiasa terpelihara.
“Saya tidak mahu tengok rumah-rumah dah daif sangat, usang sangat. Kalau tiada waris, jual balik kepada kerajaan dan kita akan bersihkan kawasan berkenaan. Tiada hanky-panky di sini. Kita nak membersih, mencuci dan mencantikkan kawasan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengarahkan agar bumbung-bumbung zink lama yang telah usang diganti dengan segera serta meminta senarai lengkap jumlah bumbung yang perlu ditukar dikemukakan untuk tindakan lanjut.
“Saya tak mahu zink-zink lama ni dah. Usang sangat. Kita nak imej baharu di Tioman ini, InsyaAllah.
“Ambillah ini sebagai satu nasihat dan peringatan kepada seluruh penghuni di Pulau Tioman agar bersama-sama memelihara kebersihan serta memperindah persekitaran demi kesejahteraan bersama,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG








