KUCHING, 8 Disember 2025 – “Setiap kali saya datang ke Sarawak, saya tidak rasa seperti melancong. Saya rasa seperti pulang ke rumah,” titah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Perasaan itu zahirkan Paduka Baginda ketika bertitah pada pembukaan Seminar Festival Tekstil Antarabangsa Borneo di sini hari ini, sambil menyifatkan negeri ini sebagai rumah keduanya.
Paduka Baginda bertitah bahawa pertalian budaya dan sejarah antara Pahang dan Sarawak telah lama wujud, jauh sebelum pembentukan negeri moden.
“Pahang dan Sarawak adalah anak dari landskap yang sama, sungai, hutan dan memori nenek moyang. Bahkan, seorang Sultan Pahang pernah mengahwini Puteri Brunei. Manik di Jerantut mirip manik Sarawak. Terlalu banyak persamaan untuk dianggap kebetulan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut mengenang perjalanan peribadi yang menghubungkan diri Paduka Baginda dengan Sarawak antaranya memakai keringkam tudung ketika majlis khatam Al-Quran sempena majlis pernikahan Paduka Baginda dan turut menerima hantaran keringkam selendang dari Pahang.
“Ia begitu berharga sehingga saya hadiahkan kepada Muzium Sarawak agar ia menjadi milik masyarakat yang saya anggap sebagai keluarga,” titah Paduka Baginda.
Berkongsi pengalaman kolaborasi Sarawak–Pahang di London Craft Week, Paduka Baginda berbangga dengan penyatuan yang telah mengangkat keistimewaan kedua-dua negeri di pentas antarabangsa.
“London datang mencari fesyen, tetapi mereka menemui tamadun. Mereka jatuh cinta dengan burung kenyalang, pua kumbu, tenun Pahang dan keringkam. Kami tidak membawa kraftangan sahaja, kami membawa jiwa,” akhiri Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG






