SARAWAK 3 NOVEMBER 2025 – Hujan pada pagi ini seolah-olah turut mengiringi langkah perpisahan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang berangkat pulang ke Kuantan, Pahang, selepas menamatkan lawatan selama empat hari di Bumi Kenyalang.
Keberangkatan pulang Paduka Baginda berdua dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) yang disambut oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg dengan penuh hormat dan protokol meskipun jauh diruang hati seakan tidak mahu melepaskan Permata Hati Rakyat kesayangan rakyat di setiap pelosok ini.
Biarpun lawatan berakhir, kenangan dan kasih yang ditinggalkan Paduka Baginda dan keluarga diraja akan terus mekar di hati rakyat Sarawak seperti mana pelangi yang hadir selepas hujan, tanda indahnya pertemuan yang sukar dilupakan.- KESULTANAN PAHANG







