Kejohanan Golf Remaja Pahang Piala YAM Tengku Arif Bendahara yang berlangsung di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), Jalan Sungai Lembing, Kuantan, Pahang pada 2 September 2025 melakar satu lagi sejarah penting dalam pembangunan sukan golf negara ini.
Kejohanan julung kali ini merupakan cetusan idea dan inisiatif YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sendiri, yang berhasrat menyediakan satu platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat muda serta melahirkan pelapis berkualiti dalam arena golf.
Lebih istimewa, YAM Tengku Arif Bendahara turut menyumbang hadiah-hadiah utama untuk para pemenang, sekali gus memberikan suntikan semangat dan menjadikan kejohanan ini lebih berprestij, kompetitif dan dinanti-nantikan oleh para pemain muda di seluruh negeri.
Bagi YAM Tengku Arif Bendahara, penganjuran kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, sebaliknya merupakan usaha berterusan YAM Tengku Arif Bendahara untuk memperkukuh pembangunan golf remaja di Pahang dan seterusnya membawa nama negeri ini ke peringkat yang lebih tinggi.
Menerusi penganjuran kejohanan yang membabitkan murid sekolah di seluruh pelosok Pahang termasuk sekolah-sekolah luar bandar, golf bukan lagi sekadar sukan elit.
Ia ada platform terbaik dalam melahirkan generasi baharu yang lebih berdisiplin, berkeyakinan dan berpotensi besar untuk bersaing di pentas antarabangsa.
Penganjuran ini turut mendapat sokongan penuh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, yang menzahirkan penghargaan atas usaha YAM Tengku Arif Bendahara dalam memajukan bakat-bakat muda negeri ini.
Pada kejohanan kali ini, seramai 64 pemain golf remaja dari seluruh negeri Pahang mengambil bahagian, termasuk penyertaan dari Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling, SK Kuala Sat, SK Merting, SK Mad Daling, Jerantut serta komuniti Orang Asli dari SK Kedaik.
Kejohanan ini mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang.
Turut sama dalam menjayakan penganjuran Kali ini ialah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Akademi Kemahiran Belia Golf dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia Pahang.
Berikutan sambutan yang amat membanggakan, YAM Tengku Arif Bendahara berhasrat untuk memperluaskan lagi penganjuran kejohanan ini ke setiap daerah pada tahun hadapan melalui Sirkit Piala YAM Tengku Arif Bendahara, dengan pusingan akhir dijangka berlangsung pada penghujung 2026.
Penganjuran ini menjadi bukti jelas komitmen dan visi YAM Tengku Arif Bendahara yang selari dengan titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang untuk mencorak masa depan golf remaja negeri Pahang, serta mengangkat sukan ini sebagai satu wadah pembangunan bakat dan sahsiah generasi muda. – KESULTANAN PAHANG