CYPRUS, 18 Oktober 2025 – Selepas lebih empat dekad, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini kembali menjejakkan kaki ke British Forces Cyprus iaitu tempat Paduka Baginda menjalani latihan ketenteraan sebelum ini.
Kunjungan tersebut nyata mengembalikan nostalgia dan momen terindah yang sama sekali tidak pernah pudar dari ingatan Paduka Baginda ketika menjalani latihan pendaratan pantai selama 10 hari di Kawasan Pangkalan Berdaulat Barat (Western Sovereign Base Area).
Paduka Baginda turut berkenan bertemu semula dengan rakan-rakan seplatun dari zaman latihan berkenaan, termasuk Kolonel (Bersara) Mark Underhill yang turut membantu merealisasikan kunjungan tersebut.
“Cyprus sentiasa dalam ingatan saya. Ini merupakan kunjungan pertama saya selepas 46 tahun, dan ia mengembalikan banyak kenangan indah,” titah Paduka Naginda sebagaimana dipetik oleh portal berita Forces News.
Paduka Baginda sebelum ini menjalani latihan ketenteraan sebagai pegawai di Royal Military Academy Sandhurst antara tahun 1978 hingga 1980.
“Saya seorang yang gemar aktiviti luar dan mencabar, dan Sandhurst sangat sesuai dengan diri saya,” titah Paduka Baginda lagi.
Menurut laporan tersebut, menjadi kebiasaan bagi keluarga diraja dari negara-negara Komanwel menghantar putera mereka ke United Kingdom untuk latihan ketenteraan.
Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan juga merupakan rakan seangkatan Paduka Baginda di Sandhurst.
Semasa di Cyprus, Paduka Baginda berkenan melawat landasan dan terminal di RAF Akrotiri sebelum dibawa ke Akrotiri Mole, lokasi di mana latihan terakhir Paduka Baginda bermula lebih empat dekad lalu.
Keberangkatan Paduka Baginda turut diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut diberi penerangan mengenai pesawat CH-47 Chinook oleh anggota daripada 1310 Flight iaitu unit pemadam kebakaran udara BFC di bawah Skuadron 84.
Paduka Baginda kemudiannya dibawa melawat Bloodhound Camp, tempat Paduka Baginda pernah menetap serta Pantai Malander, lokasi kemuncak latihan pendaratan ketika itu.
Kolonel (Bersara) Underhill turut mengimbau kenangan sewaktu latihan dahulu, termasuk momen ketika mereka terpaksa terjun ke laut selepas rampa (ramp) kapal tidak dapat mencecah tepi pantai sepenuhnya.
“Ketika itu kami baru sejam tiba di pulau ini, tetapi sudah pun memulakan latihan dalam keadaan basah kuyup,” katanya sambil menyatakan rasa bangga dapat menemani Paduka Baginda menelusuri kembali lokasi-lokasi yang menyimpan sejarah peribadi Paduka Baginda.
“Saya rasa kami semua sangat bertuah dan pastinya berbangga apabila dapat menemani Paduka Baginda serta mengimbau kenangan silam yang begitu bererti buat Baginda,” katanya.- KESULTANAN PAHANG
Sumber : forcesnews