KUANTAN, 26 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah mengingatkan bahawa gelaran dan darjah kebesaran bukan lesen untuk bermaharajalela atau menyalahguna kedudukan.

Paduka Baginda bertitah, anugerah tersebut bukanlah sekadar sebutan mulia di hadapan nama mahupun perhiasan di dada yang menjadi kebanggaan dalam majlis-majlis rasmi, sebaliknya merupakan lambang kemuliaan dan amanah yang bersulam maruah.

“Penghormatan ini hanya layak kepada mereka yang memelihara integriti serta menjunjung tinggi undang-undang negeri. Ia tidak boleh dan tidak akan menjadi pelindung kepada mana-mana individu yang melanggar undang-undang, mengkhianati tanah negeri atau menodai keadilan.

“Beta tidak akan berdiam diri apabila kehormatan yang diberi digunakan untuk menindas, mencuri hasil negeri, atau mencemarkan nama baik institusi diraja,” titah Paduka Baginda lagi.

Sehubungan itu, Paduka Baginda menegaskan bahawa mulai saat ini, individu yang telah dianugerahkan gelaran seperti Dato’, Dato’ Indera, Dato’ Sri atau yang seumpamanya dan terbukti terlibat dalam jenayah akan dikenakan tindakan penggantungan atau penarikan balik gelaran secara serta-merta.

Paduka Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 KDPB Sultan Pahang yang diadakan di Istana Abdulaziz, hari ini.

Sementara itu Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang turut mendedahkan bahawa sehingga kini, seramai 49 individu daripada 67 orang yang dikenal pasti sedang menunggu proses penarikan semula darjah kebesaran masing-masing akibat pelbagai pelanggaran yang telah dikenal pasti.

“Beta tidak akan bertolak ansur. Tiada kompromi dalam menghapuskan budaya yang menjulang darjah di dada namun menodai amanah di belakang,” tegas Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap segelintir individu yang tanpa segan silu menggunakan nama Paduka Baginda atau mengaitkan nama Istana Pahang dengan tujuan untuk mendapatkan restu, perlindungan atau sokongan bagi kepentingan peribadi.

“Perbuatan seperti ini adalah satu bentuk penyamaran kehormatan yang tidak boleh dibiarkan berleluasa.
“Ia bukan sahaja mencemarkan nama baik institusi diraja, tetapi juga menipu rakyat, memperdaya pihak berkuasa dan dalam beberapa kes digunakan untuk menghalalkan kegiatan yang meragukan serta bertentangan dengan undang-undang,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







