Demikian gambaran para juri Piala Tunku Azizah – Pertandingan Tenun Pahang Diraja yang memasuki hari kedua perjurian membabitkan 103 penyertaan membabitkan 206 produk dari seluruh negara.
Penganjuran yang julung kali diadakan Yayasan Tenun Pahang Diraja (YTPD) dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia bermula pada 27 Mac 2025 hingga 30 April 2025 itu terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia terutama para pencinta tekstil.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang merupakan pengasas dan pengerusi YTPD bertitah, semua produk yang dipertandingkan iaitu kain samping corak beragi dan kain sarung corak beragi itu akan dinilai oleh lima orang juri profesional selama empat hari bermula 21 Ogos ini.
“Juri profesional diketuai oleh Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah akan dibantu oleh empat lagi pakar tekstil negara seperti Dr. Habibah binti Abdul Jabar; Prof. Dr. Norwani binti Md Nawawi; Noorizal bin Ramly dan Noridah binti Johan.
“Panel juri akan membuat pernilaian berdasarkan empat kriteria iaitu kecemerlangan dan keaslian, ketukangan, inovasi dan komersial. Paling utama Adalah penghasilan produk mesti menggunakan kaedah pembentukan tangan manakala penggunaan mesin adalah tidak dibenarkan. Setiap produk yang dihasilkan wajib menerapkan nilai warisan Malaysia sama ada dalam aspek motif, warna, teknik pembuatan dan amalan budaya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah, sejumlah RM104,000.00 wang tunai yang ditawarkan menerusi pertandingan ini iaitu tempat pertama bakal mendapat wang tunai RM30,000.00 berserta piala dan sijil; tempat kedua sebanyak RM20,000.00 berserta piala dan sijil; tempat ketiga sebanyak RM10,000.00 berserta piala dan sijil manakala saguhati tempat keempat hingga kelapan akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM4,000.00 berserta piala dan sijil. Bagaimanapun, saguhati tempat kesembilan hingga ke-20 akan menerima sebanyak RM2,000.00 dan sijil.
Keputusan pemenang Piala Tunku Azizah -Pertandingan Tenun Pahang Diraja ini akan diketahui pada 24 Ogos 2025 daripada 20 rekaan terbaik yang disenarai pendek menerusi sesi perjurian pada 21 hingga 23 Ogos 2025.
Turut hadir pada hari perjurian ialah Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang yang juga Lembaga Pemegang Amanah YTPD, Juhari Azmi. – KESULTANAN PAHANG