KUANTAN, 19 NOVEMBER 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Pertunjukan Sarkas The Legend of The Sea di Serambi Teruntum di sini semalam.
Paduka Baginda diiringi YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta paduka-paduka cucunda.





Paduka Baginda yang tiba pada pukul 8.00 malam berkenan meluangkan masa hampir dua jam menyaksikan pertunjukan berinspirasikan keajaiban lautan yang menampilkan aksi akrobatik, tarian, persembahan aerial, contortionist, serta muzikal dan komedi.
Paduka Baginda kemudiannya turut berkenan mengurniakan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom (RKKSHK) yang disampaikan kepada Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Encik Khairul Amri Ahmad.- KESULTANAN PAHANG







