PULAU TIOMAN, 17 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Pulau Tioman bagi memulakan lawatan kerja rasmi selama empat hari bermula hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan keprihatinan berterusan terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat di pulau berkenaan, khususnya dalam aspek infrastruktur, kemudahan awam serta kebajikan masyarakat setempat.
Sepanjang lawatan tersebut, Paduka Baginda berkenan mendengar taklimat pembangunan Pulau Tioman yang merangkumi perancangan projek-projek semasa dan akan datang demi memastikan kemajuan pulau itu dilaksanakan secara terancang dan mampan.
Selain itu, Paduka Baginda turut dijadualkan berkenan menghadiri program gotong-royong perdana bersama penduduk setempat sebagai simbol semangat muafakat dan kebersamaan antara institusi diraja dan rakyat.
Bersempena ketibaan Ramadan, Paduka Baginda turut berkenan menjalani awal Ramadan bersama rakyat di Pulau Tioman dengan menghadiri majlis berbuka puasa dan menunaikan solat fardu secara berjemaah bersama penduduk.
Beberapa lagi program turut direncana sepanjang lawatan kerja ini, mencerminkan komitmen berterusan Paduka Baginda dalam memastikan pembangunan Pulau Tioman selari dengan aspirasi negeri serta keperluan rakyat. -KESULTANAN PAHANG







