KUALA LUMPUR, 15 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Diraja di International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampus Kuala Lumpur, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj selaku Ketua Perlembagaan UIAM serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah;
YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keberangkatan Paduka Baginda ke ISTAC adalah sempena majlis bertemu pelajar dan pensyarah yang terlibat dalam pengajian peringkat sarjana KDPB Tengku Ampuan Pahang di ISTAC akan memasuki semester ketiga.
Paduka Baginda di dalam titah mengagumi kesungguhan dan semangat juang KDPB Tengku Ampuan Pahang dalam menuntut ilmu dan lebih istimewa kajian mengenai ‘Hukum Kanun Pahang’ yang pastinya memberi manfaat kepada kerajaan dan rakyat di negeri Pahang.
“Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, KDPB Tengku Ampuan Pahang sering berkongsi mengenai Hukum Kanun Pahang (HKP). Perkara ini membuka minda saya untuk memahami dengan lebih mendalam kewujudannya, yang sebelum ini kurang diketengahkan atau dipelajari. Ia merupakan satu bidang baharu yang wajar diterokai.
“Insya-Allah, selepas KDPB Tengku Ampuan Pahang menamatkan pengajian, saya bercadang untuk menghimpunkan para cendekiawan dan ulama bagi membincangkan bagaimana Hukum Kanun ini boleh dijadikan dasar atau amalan untuk Kerajaan Negeri Pahang.
“Kita tidak seharusnya terlalu taksub dengan kerangka perlembagaan yang dibentuk oleh kuasa luar pada masa lalu, sebaliknya terbuka menerima pandangan dan nasihat baharu berasaskan tunas-tunas syariah dan amalan yang baik, demi penambahbaikan berterusan,” titah Paduka Baginda. – KESULTANAN PAHANG







