PULAU TIOMAN, 14 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Kampung Mukut, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 11.30 pagi diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sejurus keberangkatan, Paduka Baginda berkenan menyempurnakan pelancaran Kampung Wifi melalui Program Jangkau Digital TM (Telekom Malaysia). Program ini dijangka dapat memberi peluang kepada rakyat untuk menikmati kemudahan Wifi di seluruh Mukut di samping membantu pembangunan institusi pendidikan di sekolah-sekolah seluruh Tioman melalui Program Sekolah Angkat dalam pembangunan STEM dan TM Future Skill.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan melakukan Ziarah Kasih ke tiga buah rumah penduduk golongan asnaf dan mengurniakan sumbangan buat mereka sebelum berkenan berangkat menunggamg motosikal ke Sekolah Kebangsaan Kampung Mukut untuk melawat perpustakaan sekolah sebelum ke jamuan rakyat.
Pertemuan bersama rakyat pada Majlis Jamuan Rakyat di Kampung Mukut bukan hanya menjadi ruang kepada Paduka Baginda menyantuni rakyat jelata, tetapi juga menjadi kesempatan untuk Paduka Baginda melihat sendiri perkembangan dan kemajuan yang telah dicapai di Pulau Tioman khususnya dalam aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi dan sosial tempatan. -KESULTANAN PAHANG






