KUALA LUMPUR, 26 September 2025 -Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Teh Tuanku Canselor Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersama-sama Industri, di Grand Hyatt hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda selaku Canselor UMPSA pada pukul 3 petang diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak mewakili Menteri Besar Pahang, Pro Canselor, Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor, Pengerusi Lembaga Pengarah UMPSA, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar dan Naib Canselor UMPSA, Prof Dr. Yatimah Alias.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan penyampaian cek cura bernilai lebih RM 87 juta daripada Kintsugi (K2) serta 48 lagi syarikat lain kepada UMPSA.
Keseluruhan nilai tersebut melibatkan lima endowmen iaitu merangkumi Endowmen Kepengerusian yang menerajui kepakaran bagi kursi penyelidikan khusus dalam bidang-bidang penting yang berimpak tinggi. Endowmen Penyelidikan hasil penyelidikan yang memacu kemajuan negara untuk menyelesaikan keperluan industri melalui kepakaran akademia. Lain-lain adalah Endowmen Biasiswa, Kebajikan dan Kebajikan Pelajar, Endowmen Komuniti dan Endowmen Alumni.
Pada majlis sama juga, Paduka Baginda turut berkenan melancarkan Endowmen Tuanku Canselor bagi menyokong aktiviti pendidikan, penyelidikan dan kebajikan untuk kecemerlangan universiti. -KESULTANAN PAHANG