SARAWAK, 1 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Semenggoh Wildlife Centre yang terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Kuching.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Pahang.
Semenggoh Wildlife Centre merupakan pusat pemulihan Orang Utan yang turut terkenal sebagai tempat terbaik di Borneo untuk melihat orang utan separuh liar secara dekat, terutamanya semasa waktu makan.
Paduka Baginda turut berkenan menyaksikan orang utan yang diberi nama Edwin keluar dari hutan untuk mendapatkan makanan yang disediakan selain seekor lagi orang utan betina yang menggendong anaknya. -KESULTANAN PAHANG








