PEKAN, 7 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan bercemar duli berangkat melihat serpihan dipercayai objek dari angkasa di Nenasi di sini.
Objek berkenaan kini diletakkan di Balai Polis Nenasi bagi tujuan pengawasan dan kajian oleh pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira 20 minit melihat objek berkenaan dari dekat serta mendengar persembahan taklimat oleh Penguasa Angkasa dari Bahagian Penguasa Angkasa MOSTI, Encik Mhd Fairos Asillam.
Paduka Baginda turut menerima sembah maklum berkenaan kajian yang masih dilakukan oleh pihak MOSTI terhadap objek berkenaan berdasarkan rupa bentuk, keadaan semasa serta andaian lokasi asal serpihan tersebut.
Objek seberat kira-kira 200 kilogram disyaki serpihan fairing rocket itu ditemukan penduduk kampung di pesisir pantai Kampung Tanjung, Nenasi pada Selasa lepas. -KESULTANAN PAHANG





