KUANTAN, 8 April 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan fasa kedua (penerjunan) Kursus Asas Payung Terjun Static Ram Air Siri 1/2026 yang berlangsung di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda mencerminkan sokongan berterusan terhadap usaha pembangunan keupayaan dan latihan yang menuntut tahap disiplin serta ketahanan fizikal dan mental yang tinggi.
Dalam sesi penerjunan tersebut, kesemua peserta berjaya melaksanakan tiga kali terjunan dengan jayanya, jelas memperlihatkan tahap kesiapsiagaan, keberanian serta komitmen yang tinggi.
Semangat para peserta turut diperkukuhkan dengan nasihat serta kata-kata perangsang daripada Paduka Baginda sepanjang sesi pagi berkenaan.
Turut hadir ialah Panglima Pendidikan dan Latihan Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Muhammad Tarminzi Haji Mustapha TUDM; Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang, Mej Jen Dato’ Mohamed Zahari Haji Yahya TUDM dan Komander Pangkalan Udara Kuantan, Kol Baharin Mohamad TUDM. – KESULTANAN PAHANG







