PEKAN 31 Julai 2025- Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli menyertai Kejohanan Polo Royal Pahang Classic 2025 yang berlangsung di Royal Pahang Polo Club, Pekan, di sini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan berangkat menyaksikan kejohanan tersebut.
Turut sama menyertai kejohanan yang masuk hari kelima semalam ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Perlawanan semalam menyaksikan pasukan Royal Pahang Citaglobal yang turut diwakili Paduka Baginda Sultan Pahang menang dengan jaringan 5-3 ke atas pasukan Las Chicas dan menumpaskan pasukan Pahang Rangers dengan jaringan 8-1.
Pasukan Las Chicas turut menewaskan Pahang Rangers dengan jaringan mata 4-3. -KESULTANAN PAHANG