KEMAMAN, 15 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan ucapan takziah dan berkenan mengurniakan sumbangan kepada waris pengusaha Warung Aziz Satar, Allahyarham Aziz Awang, 68, yang maut dalam kemalangan jalan raya pada Jumaat lalu.
Kurniaan Paduka Baginda disampaikan oleh Pegawai Khas KDPB Sultan Pahang, YH Dato’ Abd Rahman Endut menerusi anak sulung Allahyarham, Rosmaini Aziz, 45, di warung mereka di Kemaman pada Ahad lalu.
Rosmaini bersama 10 adik beradik bukan sahaja kehilangan bapa tetapi ibu mereka turut meninggal dunia dalam kemalangan tersebut.
Terdahulu, kejadian kemalangan di Kilometer 162.9 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur dekat Maran itu turut mengorbankan isterinya, Allahyarham Hasnah Mat Nong, 64, manakala dua pekerja yang berada di bahagian belakang mengalami kecederaan. -KESULTANAN PAHANG