KUANTAN, 6 Mac 2026 — Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan memahsyurkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) sebagai Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang (UNIQSAAS).
Paduka Baginda berkenan mengisytiharkan secara rasmi penjenamaan semula universiti berkenaan sekaligus menjadikan UNIQSAAS sebagai universiti Al-Quran pertama di Malaysia dan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan institusi pendidikan tinggi di negeri Pahang.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj serta Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdulaziz, hari ini.
Pada majlis ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang daripada Menteri Pengajian Tinggi, YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dan Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyerahkan warkah berkenaan kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Pemilihan tarikh pada hari ini membawa makna signifikan kerana selari dengan aspirasi universiti untuk menjadikan Al- Quran sebagai teras pembangunan ilmu dan pembinaan tamadun.
Majlis pengisytiharan ini juga bertepatan dengan Majlis Kesyukuran serta Doa Selamat Sempena Ulang Tahun Yang Ke-40 Perkahwinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang yang turut diadakan pada hari ini. -KESULTANAN PAHANG





