KUANTAN 24 Julai 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dengan nama Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah sempena Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-66 KDPB Sultan Pahang.

Sementara itu, menerusi Titah Diraja, Paduka Baginda turut mengenang usaha paduka ayahanda (Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah) dalam pembinaan masjid ini termasuk dari sudut mengusahakan dana dan bercemar duli turun sendiri melihat kerja-kerja pembinaannya.

“Tindakan tersebut menjadi bukti nyata akan cinta dan harapan tinggi Almarhum terhadap pendidikan Islam serta kesejahteraan rohani generasi mendatang di negeri tercinta ini,

“Kini, masjid ini bukan sahaja tersergam indah di lokasi yang strategik, bahkan saya berharap ia menjadi mercu tanda keunggulan nilai-nilai Islam yang berpaksi kepada ilmu, amal dan akhlak. Masjid ini hendaklah dijadikan pusat kecemerlangan dakwah bukan hanya di kampus,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu, Paduka Baginda mengingatkan agar setiap program ceramah atau kuliah yang melibatkan penceramah luar perlu membuat permohonan rasmi kepada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

“Dalam masa yang sama, setiap permohonan tersebut akan dinilai dengan mengambil kira pandangan serta nasihat daripada Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang agar isi kandungan ceramah itu tidak terpesong daripada landasan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya di negeri ini,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
