KUANTAN, 22 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menziarahi mangsa-mangsa kebakaran di Kampung Padang dan Taman Sungai Isap Murni, di sini hari ini.
Dalam kejadian kebakaran baru-baru ini, sebanyak enam buah rumah terlibat iaitu tiga buah rumah di Kampung Padang dan tiga lagi di Taman Sungai Isap Murni.
Sejurus tiba pada jam 11.00 pagi, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan mendengar persembahan taklimat daripada
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) berkenaan tragedi yang berlaku.
Prihatin dengan nasib mangsa kebakaran, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku menitipkan nasihat dan kata-kata semangat agar semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.
Selain menyantuni semua mangsa kebakaran, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan menyampaikan kurniaan peribadi bagi meringankan beban mereka. – KESULTANAN PAHANG






