KUANTAN 22 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat ke Program Memasak Bubur Lambuk Untuk Penghuni Penjara Penor di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah Binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Program tahunan anjuran KDPB Tengku Ampuan Pahang itu dizahirkan sebagai tanda kasihnya Paduka Baginda kepada golongan di sebalik tirai besi agar mereka juga tidak dipinggirkan.
Inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang yang juga Penaung Kraf Diraja Jabatan Penjara Malaysia itu agar golongan yang diberi peluang kedua ini dapat bersama-sama merasai nikmat Ramadan.
Sebanyak 3,000 pek bubur lambuk Pahang resepi istimewa daripada KDPB Tengku Ampuan Pahang berjaya dihasilkan dan diedarkan kepada seluruh warga Penjara Penor.
Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat Galeri dan Bengkel Tenun Pahang Diraja di penjara berkenaan. -KESULTANAN PAHANG





