MARAN, 03 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat memasyhurkan Masjid Baharu Felda Jengka 19 di sini dengan nama Masjid Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandriah, Felda Jengka 19.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku berkenan bertitah menyifatkan penamaan masjid tersebut sebagai suatu penghormatan yang lahir daripada hati yang penuh keikhlasan dan kasih sayang Paduka Baginda terhadap Tengku Ampuan Pahang.
Paduka Baginda menjelaskan bahawa keputusan menamakan masjid itu sebagai Masjid Tengku Ampuan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bukan sekadar simbolik, malah sebagai tanda memuliakan dan menghargai peranan besar Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang selaku permaisuri bagi negeri Pahang, isteri kepada Sultan, ibu kepada Tengku Mahkota Pahang dan anakanda-anakanda Paduka Baginda serta tonggak institusi keluarga Diraja.
Paduka Baginda bertitah, Tengku Ampuan Pahang juga merupakan seorang pemimpin wanita yang aktif menerajui pelbagai institusi dan persatuan wanita di negeri ini serta sentiasa mendekati rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat.
“Bukan kerana itu sahaja, tetapi yang lebih penting, ini adalah satu penghormatan kepada seorang wanita,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda turut menzahirkan bahawa penamaan tersebut juga sebagai simbol penghargaan kepada seluruh wanita di rancangan Felda yang memainkan peranan amat besar dalam membangunkan komuniti.
Titah Paduka Baginda lagi, kaum wanita di Felda bukan sahaja aktif dalam kegiatan kemasyarakatan dan sokongan politik, malah gigih menguruskan rumah tangga, menyediakan makanan, membantu ekonomi keluarga serta mendidik anak-anak ke sekolah, ke masjid dan ke institusi tahfiz.
“Syabas kepada semua wanita-wanita di Felda,” titah Paduka Baginda sambil menegaskan bahawa kekuatan institusi keluarga dan kemajuan rancangan Felda banyak bergantung kepada ketabahan, kesabaran dan keikhlasan golongan wanita.
Mengakhiri titah, Paduka Baginda menzahirkan harapan agar masjid yang dimasyhurkan itu bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, pembangunan ilmu dan pengukuhan institusi kekeluargaan dalam kalangan masyarakat setempat. -KESULTANAN PAHANG







