PEKAN, 6 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan Majlis Menandatangani Nota Serah Terima Tugas Jawatan Pengelola Bijaya Diraja KDPB Sultan Pahang di pejabat Majlis Kesultanan Pahang di sini hari ini.

Penyerahan tugas dilakukan oleh Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Abd Rahman kepada Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari Dato’ Haji Yahya TUDM yang juga merupakan Pengelola Bijaya Diraja Utama KDPB Sultan Pahang.

Pada majlis berkenaan, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang bertitah menzahirkan ucapan penghargaan kepada Dato’ Haji Ahmad Khirrizal di atas segala sumbangan dan khidmat bakti sepanjang 21 tahun menggalas tugas selaku Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang.

Paduka Baginda menzahirkan harapan agar Datuk Haji Ahmad Khirrizal yang dilantik sebagai Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dapat menyumbang kepada organisasi berkenaan yang merupakan sebuah entiti penting di negeri ini melalui pengalaman, pengetahuan luas dan kemampuan yang dimiliki beliau.

Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar Mejar Jeneral Datuk Mohamed Zahari dapat meneruskan komitmen tinggi dan cemerlang dalam perkhidmatan seperti yang telah ditunjukkan selaku Juruiring Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada Paduka Baginda ketika menggalas amanah selaku Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

Titah Paduka Baginda, Majlis Kesultanan Pahang membawa nama yang besar maka prestasi pentadbirannya perlu dipertingkatkan oleh pegawai serta kakitangan yang baharu mahupun lama.

Paduka Baginda bertitah akan sentiasa memantau perkembangan Majlis Kesultanan Pahang agar sentiasa berada pada prestasi cemerlang terutamanya dari segi pengurusan kewangan, pengurusan sumber manusia, pengurusan media, pengurusan tanah Kesultanan dan sebagainya.

“Saya sendiri dalam masa terdekat akan memberi tumpuan khusus di mana dalam masa dua tahun saya akan berpindah ke Pekan, maka dalam tempoh berkenaan tinggi harapan saya untuk melihat semuanya berada pada kedudukan yang baik dan cemerlang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG