KUANTAN, 3 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan majlis penutupan dan pengurniaan hadiah Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 yang melabuhkan tirainya di Kelab Golf Diraja Pahang, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj yang turut berkenan mengambil bahagian sebagai peserta siri terakhir kejohanan yang berlangsung.
Paduka Baginda berdua bermain dalam satu pasukan bersama YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Lebih menarik pasukan Paduka Baginda berjaya melakar kemenangan ke atas pasukan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama menyaksikan perlawanan tersebut ialah YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan mengurniakan hadiah kepada para pemenang yang menyertai empat pusingan cabaran kejohanan yang disertai oleh 128 orang pemain.
Untuk makluman, penganjuran Kejohanan Sirkit Golf Piala Sultan Pahang 2025 ini adalah bersempena meraikan ulang tahun keputeraan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-66 pada tahun ini.
Kejohanan ini selesai diadakan di empat gelanggang berasingan di negeri ini di mana pusingan pertama bermula di MGCC diikuti Villea Rompin Resort and Golf, Rompin yang menjadi gelanggang pusingan kedua sebelum ke Kelab Golf Diraja Pekan pada 13 Julai bagi pusingan ketiga dan berakhir di Kelab Golf Diraja Pahang, hari ini. – KESULTANAN PAHANG