CAMERON HIGHLANDS, 11 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan perasmian Sustainable Modern Agriculture Cameron Highlands (SMACH) Agropark-Fasa 1 di Tringkap, hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 11 pagi disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Paduka Baginda turut berkenan mendengar persembahan taklimat oleh Pengarah Operasi Agropark serta menonton tayangan montaj ringkas mengenai pembangunan projek berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku kemudiannya berkenan ke pentas utama untuk menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SMACH Venture dengan Yayasan Pahang, TanahMu, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Malaysian CropLife & Public Health Association (MCPA).
Sejurus itu, Paduka Baginda melawat Rumah Hijau sebelum menyempurnakan penandatanganan plak perasmian dan memotong riben sebagai simbolik perasmian SMACH Agropark-Fasa 1.
Paduka Baginda turut melawat pameran pertanian mampan yang mempamerkan pelbagai teknologi moden serta inovasi pertanian lestari sebelum berangkat ke jamuan diraja bersama para tetamu dan jemputan.
Pelaksanaan projek SMACH Agropark ini diyakini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pertanian moden dan mampan di Cameron Highlands, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negeri Pahang. -KESULTANAN PAHANG