KUANTAN, 1 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Temasya Warisan Pahang, di Muzium Maritim Pulau Beram, semalam.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Wira (Dr) Hajah Asmah binti Abdul Rahman.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 8.30 malam disambut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri yang turut hadir sama majlis berkenaan.
Pada majlis berkenaan Paduka Baginda berkenan melawat pameran Lukisan Jiwa M Nasir sebelum ke pentas utama bagi menyempurnakan titah pelancaran Temasya Warisan Pahang.
Paduka Baginda turut berkenan merasmikan pelancaran Yayasan Warisan Tunku Azizah serta mengurniakan hadiah dan Piala Tunku Azizah kepada pemenang pertandingan Tenun Pahang Diraja anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda serta semua hadirin turut dihiburkan dengan persembahan kebudayaan serta Konsert Khas daripada figura seni terkenal tanah air, Dato’ M.Nasir. -KESULTANAN PAHANG







