KUALA LUMPUR 21 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli menerima mengadap Ahli Jawatankuasa Persatuan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP) di sebuah hotel di Bukit Kiara di sini semalam.
Paduka Baginda menzahirkan ingatan kepada setiap ahli PEKAP agar terus berusaha sebaik mungkin membantu ahli-ahli dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan rakyat Negeri Pahang di Lembah Klang selari dengan matlamat asal penubuhan PEKAP.
Turut hadir ialah Yang Di Pertua PEKAP, Datuk Haji Azman Shah bin Haji Abdullah.
Untuk rekod, PEKAP merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada September 1966 khas untuk anak-anak Pahang yang merantau dan telah bermastautin di Lembah Klang. PEKAP kini telah berusia 59 tahun dan mempunyai ahli seramai 4332 orang. – KESULTANAN PAHANG





