PULAU TIOMAN, 18 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat meninjau dan menyertai Gotong-Royong Perdana di sekitar Kampung Tekek, hari ini.
Paduka Baginda berkenan menunggang sendiri motosikal jenis Blueshark R1 ke beberapa lokasi utama gotong-royong berkenaan selain meninjau persekitaran di kampung ini terutamanya aspek kebersihan.
Keberangkatan Paduka Baginda pada pukul 9 pagi turut diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman (TDA),Jumshoiry Novdany bin Mohd Sulaiman serta pemimpin setempat.
Paduka Baginda berkenan ke semua lokasi gotong-royong iaitu di perkarangan Pusat Taman Laut Tioman, Dewan Orang Ramai Kampung Tekek, sekitar kampung serta Tanah Perkuburan Kampung Tekek.
Paduka Baginda turut berkenan menanam pokok Mangga Dodol sebagai simbolik dan komitmen berterusan terhadap usaha penghijauan dan pemeliharaan alam khususnya di sekitar Kampung Tekek.
Penanaman pokok tersebut melambangkan hasrat Paduka baginda agar Pulau Tioman bukan sahaja kekal bersih, malah terus dihijaukan dan dipelihara demi kesejahteraan generasi akan datang, selaras dengan titah baginda yang menekankan kepentingan peranan masyarakat setempat, khususnya golongan muda, dalam menjaga serta mencantikkan kawasan kediaman masing-masing.
Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut menzahirkan penghargaan khusus kepada seluruh warga tenaga Tioman atas usaha dan komitmen menjayakan program kebersihan tersebut. -KESULTANAN PAHANG








