KUANTAN, 23 Disember 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan bercemar duli berangkat meninjau operasi Projek Ladang Lembu Tenusu, di Gambang Kuantan hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda kira-kira pukul 3 petang disambut pegawai dan kakitangan syarikat Touch Milk Dairy Farm yang mengusahakan projek berkenaan.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menerima persembahan taklimat daripada Pengarah Urusan Kumpulan Touch Milk Dairy Farm, Raja Dato’ Idris Raja Halid berkenaan operasi di kawasan berkeluasan 242 hektar itu.
Paduka Baginda turut berkenan memandu sendiri untuk melihat lembu-lembu yang diternak serta kawasan pertanian rumput Napier yang turut menjadi sumber makanan ternakan.
Projek ini merupakan sebuah projek pembangunan tanah di Pahang yang memfokuskan kepada penternakan lembu moden menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan produk tenusu berkualiti tinggi. -KESULTANAN PAHANG





