BERA, 28 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Bera dan Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA) yang berlangsung meriah di Dewan Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan disambut Ahli Parlimen Bera, YB. Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob serta Pengerusi Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (KOSMA), Dato’ Haji Zamri Haji Mohamed.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan majlis pelancaran dan menandatangani buku KOSMA “Cerita Dari Sebuah Belantara” serta majlis penyerahan replika kunci van serbaguna KOSMA kepada Maahad Darul Tahfiz Al-Quran Kampung Sungai Badak, Jerantut serta majlis memotong dan menjamah pulut kuning.
Majlis jamuan hari raya ini turut menyediakan pelbagai juadah hari raya raya seperti lemang, ketupat, rendang, laksa serta cendol untuk ribuan pengunjung yang membanjiri perkarangan dewan seawal pukul 9 pagi.
Kehadiran rakyat berbilang bangsa ke majlis ini turut mempamerkan semangat perpaduan dan kemeriahan Aidilfitri dalam kalangan rakyat negeri ini. – KESULTANAN PAHANG






