KUALA LUMPUR, 20 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Jamuan Gala Serantau Asia Pacific Masdar, hari ini.





Terdahulu, Paduka Baginda berkenan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian antara Konsortium Masdar – Citaglobal – Tiza Global dan Pahang Water & Energy Resources yang turut berlangsung di Hotel St. Regis di sini.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Tuan Yang Terutama Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr Mubarak Saeed Ahmed Al Dhaheri; Ketua Pegawai Eksekutif Masdar; Mohamed Jameel Al Ramahi; Pengerusi Eksekutif/Presiden Citaglobal,Tan Sri Norza Zakaria serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan rakan-rakan kerjasama Masdar daripada kerajaan dan industri melibatkan negara-negara ASEAN yang merupakan pasaran utama bagi Masdar dalam usahanya mencapai portfolio kapasiti global sebanyak 100GW menjelang tahun 2030
Pelan Tindakan Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) menetapkan sasaran tinggi tenaga bersih serantau, termasuk pengurangan 40 peratus dalam keamatan tenaga, 30 peratus perkongsian tenaga boleh diperbaharui dalam jumlah bekalan tenaga primer serta mencapai 45 peratus penjanaan tenaga boleh diperbaharui dalam kapasiti terpasang menjelang tahun 2030. -KESULTANAN PAHANG







