SARAWAK, 2 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Penangguhan Sarawak Regatta 2025 di Tebingan Sungai Kuching di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda berdua disambut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar; dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi; Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg serta YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Pada majlis berkenaan, sebanyak tiga kategori perlumbaan berlangsung iaitu Piala Antarabangsa Borneo; Piala Premier of Sarawak serta Piala Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Raja Sungai).
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan acara pelepasan serta pengurniaan hadiah kepada semua pemenang sebelum menyaksikan gimik penangguhan Sarawak Regatta 2025 oleh Lembaga Sungai Sarawak yang menyerahkan replika pendayung kepada Residen Bahagian Kuching.
Usai persembahan cendera kenangan, Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat melawat reruai Festival Kraf Borneo Sarawak 2025 yang terletak di lokasi sama.
Orang ramai yang setia menanti ketibaan Paduka Baginda berdua sejak awal lagi tidak melepaskan peluang untuk menyapa, melambai dan merakam gambar kenang-kenangan dengan Paduka Baginda berdua. -KESULTANAN PAHANG







