SARAWAK, 2 November 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Perasmian Festival Gendang Sarawak 2025, malam tadi.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda disambut Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tuan Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar; dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi; Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg; YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof serta YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.
Bertemakan ‘Nadi Warisan Irama Tradisi’, majlis diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan dari kedua-dua buah negeri Pahang dan Sarawak termasuk peringkat akhir Pertandingan Bermukun.
Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan gimik perasmian dengan memalu gong sebanyak empat kali dan di akhir majlis Paduka Baginda berdua berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan yang dianjurkan.
Usai majlis tersebut, Paduka Baginda serta jemputan disajikan dengan persembahan laser dan cahaya, perahu tambang, pancuran air berirama serta persembahan bunga api yang sangat mempesonakan.
Paduka Baginda berdua turut berkenan menyantuni orang ramai yang memenuhi lokasi majlis dan tidak mahu melepaskan peluang menyapa dan bergambar Bersama pasangan Diraja yang pernah dan sentiasa menjadi kesayangan rakyat Malaysia ini. -KESULTANAN PAHANG







