PEKAN, 1 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Agihan Bantuan Kepada Asnaf Nelayan Darat Negeri Pahang Darul Makmur ‘Amanahraya Love & Care’ di Rumah Rakit Maraie, Kampung Padang Rumbia, di sini hari ini.
Paduka Baginda berdua turut diiringi YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut hadir ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri bin Abu Bakar; Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, Dato’ Haji Adnan Hussain; Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyempurnakan Simbolik Serahan Cek Cura berjumlah RM305,250.40 kepada tiga wakil nelayan darat mewakili 30 penerima daripada daerah Pekan, Kuantan dan Rompin.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan bantuan kepada mangsa kebakaran yang juga seorang nelayan dari Kampung Cherok Paloh, Kuantan untuk menggantikan peralatan menangkap ikan yang musnah dalam kebakaran.
Selain itu sumbangan Dana Zakat kepada Pelajar Universiti Islam Pahang berjumlah RM100,000 disalurkan kepada Tabung Kebajikan dan Kecemerlangan Pelajar UniPSAS bagi menyokong pelajar asnaf menampung kos sara hidup dan pengajian
Selain itu turut disempurnakan ialah bantuan kepada 50 orang asnaf terpilih Majlis Ugama Islam dan Adam Resam Melayu Pahang berjumlah RM50,000.00).
Sebagai simbol pemeliharaan sumber perikanan, Paduka Baginda turut berkenan melepaskan 100,300 ekor benih ikan terdiri daripada spesies Patin Buah, Terbul, Baung Sungai, Lampam Sungai dan Udang Galah ke perairan Sungai Pahang. -KESULTANAN PAHANG
KDPB SULTAN PAHANG DAN KDPB TENGKU AMPUAN PAHANG BERKENAN BERANGKAT KE MAJLIS AGIHAN BANTUAN ASNAF NELAYAN DARAT

Laman web ini dimiliki dan dikendalikan oleh MAJLIS KESULTANAN PAHANG. Perisian, semua halaman, imej, teks, multimedia dan kandungan lain dalam laman web ini adalah hak milik MAJLIS KESULTANAN PAHANG, melainkan jika dinyatakan dengan jelas.
Hakcipta Terpelihara © 2024 Majlis Kesultanan Pahang. Paparan terbaik dalam Google Chrome, Mozilla Firefox. Resolusi 1024 x 768

#MajuTerusPahang
Jumlah Pengunjung/Hit Counter





