PEKAN, 3 Ogos 2025- Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Polo Royal Pahang Classic 2025 yang berlangsung di Royal Pahang Polo Club di sini semalam.

Perlawanan akhir menyaksikan pasukan Jogo Polo dinobatkan sebagai johan selepas berjaya menewaskan pasukan Royal Pahang Polo Club manakala pasukan Royal Pahang Citaglobal berjaya merangkul Piala Tengku Ampuan selepas menewaskan pasukan La Chicas.

Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan.

Berangkat sama YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz; YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Paduka Baginda berdua berkenan bersiar-siar di Pasar Sera yang diadakan berhampiran Padang Polo dan beramah mesra dengan orang ramai yang sememangnya teruja dan gembira dapat bertemu dengan pasangan diraja yang begitu dikasihi rakyat jelata ini.
Pada majlis pengurniaan hadiah, Paduka Baginda turut berkenan memotong kek sempena memuliakan sambutan Hari Keputeraan Paduka Baginda dan lebih istimewa, kek berkenaan turut diagihkan kepada rakyat untuk dirasa bersama. – KESULTANAN PAHANG