KUANTAN, 18 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin ke Kompleks Muzium Diraja Sultan Haji Ahmad Shah, hari ini.
Turut berangkat mengiringi ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.
Paduka Baginda berdua berkenan berangkat bersama-sama DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor melawat Muzium Tunku Azizah yang menempatkan pameran fesyen dan tekstil sebelum ke Museum of Contemporary Art Plus (MOCA+) dan Museum of Contemporary Art (MOCA) yang dipenuhi dengan pameran hasil seni kontemporari daripada pelbagai displin oleh artis tempatan dan luar negara.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan berangkat bersama-sama DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor ke Khutubkhanah Diraja atau The Royal Library yang menyimpan lebih daripada 4,000 judul dalam koleksinya termasuk koleksi khas iaitu Koleksi Diraja. -KESULTANAN PAHANG





