PEKAN, 17 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Hajah Norashikin ke Pekan, Bandar Diraja hari ini.
Paduka Baginda berdua berkenan berangkat bersama-sama DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor melawat Muzium Sultan Abu Bakar, Muzium Maritim Pulau Beram dan Muzium Masjid Sultan Abdullah yang menjadi lokasi tarikan di bandar Diraja ini.
Keberangkatan DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor ke daerah ini adalah bersempena lawatan selama tiga hari Baginda berdua ke negeri Pahang Darul Makmur bermula hari ini.
Baginda berdua berkenan melihat sejarah serta khazanah berharga negeri Pahang Darul Makmur yang berada di setiap lokasi muzium sebelum berkenan berangkat ke santapan tengah hari ini di Kafe Belibis.
KDPB Sultan Pahang dan KDPB Tengku Ampuan Pahang bersama-sama DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor turut berangkat melawat sekitar Bandar Pekan dan Padang Polo yang menjadi gelanggang penganjuran sukan elit itu sehingga ke peringkat antarabangsa.
Baginda berdua turut berkenan ke Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah di Pulau Keladi untuk melihat sendiri usaha-usaha memelihara keistimewaan Tenun Diraja Pahang yang lahir di daerah ini. -KESULTANAN PAHANG





