KUANTAN, 17 Januari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menyeru seluruh umat Islam khususnya di negeri ini agar memperingati peristiwa Israk dan Mikraj yang jatuh pada Sabtu, 17 Januari 2026 bersamaan 27 Rejab 1447 Hijrah.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua mengajak seluruh umat Islam untuk menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai peringatan yang mendalam akan kebesaran Allah SWT serta keutamaan solat sebagai asas pembentukan insan beriman.
Peristiwa agung ini mengingatkan kita bahawa kekuatan rohani, keikhlasan ibadah dan keluhuran akhlak adalah tunjang kepada kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Melaluinya, umat Islam dituntut untuk terus memperteguh iman, memelihara perpaduan serta melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab.
Semoga sambutan Israk dan Mikraj ini menjadi pemangkin kepada kehidupan yang lebih diredai Allah SWT, serta membawa keberkatan dan kesejahteraan berpanjangan kepada negeri Pahang Darul Makmur dan seluruh ummah. -KESULTANAN PAHANG







