KUANTAN, 16 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh rakyat jelata di negeri Pahang Darul Makmur khasnya, serta rakyat Malaysia amnya.
Hari yang penuh bermakna ini mengingatkan kita akan semangat perjuangan, pengorbanan dan kesepakatan para pemimpin serta pejuang terdahulu yang telah mengikat janji membina sebuah negara bangsa yang merdeka, berdaulat dan harmoni.
Paduka Baginda berdua turut mengingatkan supaya sentiasa ingat kepada pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.
Marilah kita bangkit bersama menuju kejayaan demi tanah air tercinta berbekalkan jiwa yang besar dan semangat waja.
Setiap titisan keringat yang tumpah pada masa kini adalah bekalan bagi masa depan bangsa yang lebih gemilang.
Kasih kita kepada negara bukan sekadar kata-kata, tetapi perjuangan untuk melihat tanah air terus merdeka dan berjaya.
Negara yang kuat lahir daripada rakyat yang bersatu, berdisiplin, dan berusaha tanpa mengenal penat.
Dalam kesempatan ini juga, Paduka Baginda berdua mengimbau kenangan manis semasa ‘Kembara Kenali Borneo’ dua tahun lalu yang masih segar di ingatan hingga kini.
Pengalaman manis itu telah mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara Paduka Baginda, rakyat di Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sekali gus melambangkan semangat sebenar Hari Malaysia.
Semoga Malaysia terus hidup dalam suasana aman dan makmur, dilimpahi keamanan serta kesejahteraan.
Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan semangat muhibah, meningkatkan rasa tanggungjawab dan cinta akan tanah air agar Malaysia terus melangkah maju menjadi sebuah negara yang dihormati di persada dunia.
Selamat Hari Malaysia.
—KESULTANAN PAHANG