KUANTAN, 25 Mac 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan Selamat Hari Polis Ke-219 kepada semua warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sempena sambutan Hari Polis pada hari ini, Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia atas segala jasa, pengorbanan serta komitmen yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan penghargaan kepada para perajurit negara yang telah gugur mempertahankan kedaulatan tanah air serta mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Paduka Baginda berdua juga menyeru seluruh rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada pihak pasukan keselamatan, khususnya Polis Diraja Malaysia, dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian negara.
Semoga seluruh warga Polis Diraja Malaysia terus diberikan kekuatan, kecekalan dan perlindungan dalam melaksanakan amanah demi agama, bangsa dan tanah air. -KESULTANAN PAHANG





