KUANTAN, 16 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, YB Dato’ Sri Mohd Johari bin Hussain atas kejayaan menamatkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Pengajian Islam (Syariah) daripada Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS).
Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tersebut yang menyerlahkan dedikasi mendalam terhadap ilmu dan perjuangan berterusan dalam memperkasa nilai keilmuan yang wajar dicontohi oleh seluruh warga Pahang.
Paduka Baginda berdua mendoakan semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam menyebar dan mengaplikasikan ilmu demi manfaat rakyat serta kemakmuran Negeri Pahang Darul Makmur. -KESULTANAN PAHANG