KUANTAN, 25 Oktober 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah di atas kelahiran cahaya mata kembar tiga tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) kepada Mejar Ir. Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dan Puan Sabrina Hakiem Zaini.
Paduka Baginda turut menzahirkan rasa syukur dan gembira di atas kelahiran Maryam Al Lubna (9.40 pagi), Maryam Al Khawla (9.42 pagi) dan Maryam Al Arwaa (9.46 pagi) di Hospital Melaka, semalam.
Ketiga-tiga bayi berkenaan merupakan bayi ke-145, 146 dan 147 yang dilahirkan sejak TAFF ditubuhkan pada 2004.
Paduka Baginda berdua mendoakan agar ketiga-ketiga bayi ini membesar dengan baik dan sihat serta sentiasa dilimpahi kasih sayang daripada ibu bapa serta insan di sekeliling mereka.
Pada Januari lalu, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang selaku Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF dengan penuh keprihatinan menawarkan rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) percuma kepada pasangan ini yang kematian anak akibat kecuaian pengasuh di sebuah taman asuhan di Melaka.
Tragedi berkenaan turut menarik perhatian dan simpati rakyat Malaysia terhadap pasangan ini yang kehilangan anak lelaki berusia lapan bulan selepas berusaha dan menanti cahaya mata selama 13 tahun.
Untuk rekod, TAFF yang ditubuhkan atas inisiatif KDPB Tengku Ampuan Pahang sejak 21 tahun lalu telah menaja 553 pasangan suami isteri seluruh negara yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan cahayamata.-KESULTANAN PAHANG







