KUANTAN, 5 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Profesor Madya Dr. Ros Aniza Mohd Shariff.
Allahyarham merupakan pensyarah di Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Durham UK. Allahyarham berada di sana bagi tujuan pembentangan kertas kerja di Maqasid Syariah Conference Durham University.
Paduka Baginda berdua menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar di dalam bidang akademik dan institusi pendidikan tinggi negara.
Paduka Baginda berdua berdoa agar roh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan soleh.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham tabah di dalam menghadapi kehilangan insan yang tersayang. -KESULTANAN PAHANG