KUANTAN, 21 Februari 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan rasa dukacita dan simpati yang amat mendalam atas pemergian seorang anggota tentera yang meninggal dunia semalam.
Mangsa, Truper K. Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus di Rejimen Pertama, Kor Armor Diraja, Kem Batu 10, di sini, dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurut laporan, mendiang ditemukan tidak sedarkan diri pada Rabu lalu di kem berkenaan sebelum dikejarkan ke HTAA untuk mendapatkan rawatan lanjut. Namun, segala usaha perubatan tidak dapat menyelamatkan beliau.
Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang dan berharap agar mereka tabah serta sabar menghadapi ujian yang amat berat ini.
Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan agar keluarga mendiang terus cekal dan bersatu hati, serta menyerahkan segala urusan kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian tersebut. Paduka Baginda berdua menegaskan bahawa pengorbanan anggota keselamatan negara sentiasa dihargai dan dikenang.
Kebawah Duli Paduka Baginda berdua juga menzahirkan penghargaan atas khidmat bakti mendiang kepada negara serta berharap agar keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan, ketenangan dan dipermudahkan segala urusan dalam menghadapi saat-saat yang sukar ini. -KESULTANAN PAHANG







