KUANTAN 31 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli ke Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Natasya Puteri Binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 8.30 pagi disambut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri yang turut hadir sama sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-68 ini.
KDPB Sultan Pahang kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama selain menyaksikan persembahan 150 kontinjen dengan pecahan 82 kontinjen berjalan kaki dan 68 kontinjen berkenderaan dengan jumlah peserta seramai 5227 orang dan 644 buah kenderaan sepanjang lebih dua jam acara berlangsung.
Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran empat pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat ‘flypass’ di ruang udara Bandaraya Kuantan.
Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang pada tahun ini dihadiri kira-kira 50,000 orang pengunjung yang tidak melepaskan peluang untuk melihat persembahan istimewa yang disediakan bagi sambutan tahun ini. – KESULTANAN PAHANG






