TEMERLOH, 18 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Jamuan Diraja bersama Rakyat Sempena Memuliakan Hari Keputeraan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Warung Acu, di sini hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda berdua pada pukul 12.10 tengahari disambut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; pemilik Warung Acu, Encik Mohamad Wafiuddin Bin Bohari; pemimpin setempat serta rakyat jelata yang turut menanti ketibaan Paduka Baginda berdua.
Paduka Baginda berdua kemudiannya berkenan ke majlis santapan sebelum berkenan meluangkan masa menyantuni orang ramai yang tidak melepaskan peluang untuk mendekati dan bergambar bersama pasangan Diraja kesayangan rakyat ini.
Usai majlis santapan, Paduka Baginda berdua berangkat ke Masjid Sultan Haji Ahmad Shah (Masjid Daerah Temerloh) untuk menunaikan solat di sana.-KESULTANAN PAHANG