TEMERLOH, 18 September 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan bercemar duli berangkat meninjau dan melawat pemilik empat buah rumah yang sebelum ini rosak akibat ribut, namun telah siap dibaik pulih, di sini.
Paduka Baginda berdua berkenan melihat dua buah rumah di Kampung Contoh, Paya Pulai Tengah, sebuah di Taman Sri Kerinau dan sebuah lagi di Kampung Paya Pulai (JPKK Bukit Resak) yang sebelum ini rosak teruk akibat kejadian ribut pada 9 Jun lalu.
Paduka Baginda berdua berkenan bertemu serta bertanya khabar setiap pemilik rumah serta keluarga mereka selain menyampaikan hasrat agar bantuan yang diberikan dapat memberi keselesaan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.
Sementara itu, hari pertama lawatan Paduka Baginda berdua ke daerah Temerloh begitu meriah dengan sambutan serta kehadiran rakyat jelata di sepanjang jalan yang dilalui.
Paduka Baginda berdua berkenan dan ceria menyantuni rakyat yang setia menanti, sambil melayani permintaan mereka yang ingin merakam gambar kenangan bersama.
Suasana penuh mesra ini menggambarkan hubungan erat serta kasih sayang antara raja dan rakyat, sekaligus mencerminkan keharmonian dan perpaduan yang terus kekal menjadi teras kemakmuran negeri Pahang Darul Makmur. -KESULTANAN PAHANG